Bertanya anda tentang solat sunat tahiyatul masjid,  maka dijawab: Adalah solat itu solat sunat 2 rakaat seperti solat sunat  yang lainnya, hanya sanya diniatkan sunat tahiyatul masjid. Dilakukan  untuk menghormati masjid, bila masuk sahaja ke dalam masjid sebelum  duduk.
Bagaimana jika masuk itu terus duduk, masih bolehkan melakukannya?
Jika  duduk itu dengan sengaja, maka tiada lagi disunatkan solat itu. Jika  duduk itu dengan terlupa ada 2 keadaan. Terlupa yang sekejap kemudian  ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat. Jika terlupa yang  panjang waktunya, kemudian teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun  bersolat. Adapun bagi orang yang tidak dapat mengerjakan solat sunat  tahiyatul masjid disebabkan dia telah duduk atau dia sekadar masuk  sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca: (Subhanallah  Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar) sebanyak 4 kali. 
Jika masuk ke dalam masjid dan didapati azan sudah berkumandang, bagaimana?
Bila  azan sudah berkumandang, maka berdiri ia menjawab azan tersebut,  kemudian melakukan solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib itu dikira  sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid. 
Jika masuk ke dalam masjid dan didapati jemaah solat sudah didirikan, bagaimana?
Tiada  perlu lagi solat sunat tahiyatul masjid atau solat sunat yang lainnya.  Jika didirikan, jadi makruh. Terus sahaja mengikut jemaah tersebut untuk  solat fardhu. Ia sudah dikira memadai memenuhi tuntutan solat sunat  tahiyatul masjid. 
Apakah bacaannya yang mengiringi surah Al-Fatihah?
Dibaca  apa-apa surah yang ringan dan kebiasaan yang dilakukan adalah pada  rakaat pertama, surah Al-Kafirun, dan rakaat kedua, surah Al-Ikhlas. 
Bolehkah dilakukan solat sunat tahiyatul masjid ini di tempat lain daripada masjid?
Tiadalah  dibolehkan yang demikian seperti surau atau musolla (bilik solat).  Hanya sanya yang dituntut untuk solat tersebut adalah pada bangunan yang  dibina khusus sebagai masjid. 
-artikel http://fekah.blogspot.com/2008/01/solat-sunat-tahiyatul-masjid.html